Konsep Pengajaran dan Pembelajaran Abad Ke-21.
Pengenalan
Perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan di negara kita adalah seiring dengan peredaran masa mahupun perubahan zaman. Apabila kita mula melangkah masuk ke dalam abad ke-21, sudah tentu Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan bertungkus-lumus dalam usaha menaiktarafkan sistem pendidikan di negara kita agar kita mampu untuk duduk sama rendah serta berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain. Justeru, sebelum kita melangkah lebih jauh, kita perlulah memahami dengan lebih mendalam lagi berkenaan dengan konsep pengurusan pembelajaran dan pengajaran abad ke-21.
Apakah yang dimaksudkan dengan pembelajaran dan pengajaran abad ke-21?
Pengajaran didefinisikan sebagai satu proses mengajar atau penyebaran sesuatu ilmu kepada orang lain. Aktiviti ini biasanya dilakukan oleh individu yang mahir atau pakar dalam sesuatu bidang. Individu tersebut akan memberi ajaran atau berkongsikan ilmu pengetahuan mereka kepada individu yang kurang mahir. Pembelajaran pula membawa maksud satu proses pemerolehan ilmu dan pengetahuan, penguasaan kemahiran dan tabiat, serta pembentukan sikap serta kepercayaan oleh peserta didik. Maksud peserta didik yang dinyatakan adalah individu yang kurang mahir dalam sesuatu perkara tersebut dan belajar daripada orang yang lebih mahir daripadanya. Contoh peserta didik yang paling hampir dengan kita adalah pelajar sekolah. Hal ini dikatakan sedemikian adalah kerana pelajar memperoleh ilmu daripada individu yang lebih mahir daripada mereka iaitu guru.
Setelah mengetahui definisi bagi pengajaran dan pembelajaran, ini akan memudahkan kita untuk mendalami maksud pembelajaran dan pengajaran abad ke-21. Pembelajaran dan pengajaran abad ke-21 didefinisikan sebagai satu proses pembelajaran yang berpusatkan pelajar. Proses pembelajaran dan pengajaran abad ke-21 ini dilaksanakan berteraskan beberapa elemen penting iaitu komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis, kreatif dan aplikasi nilai murni serta etika.
Pengajaran dan pembelajaran sebelum abad ke-21.
Fokus: Berpusatkan Guru.
Pengajaran dan pembelajaran sebelum abad ke-21 adalah bersifat tradisional. Fokus pembelajaran dan aktiviti di dalam kelas adalah berpusatkan guru. Guru memainkan peranan sebagai ketua dan mengawal keadaan di dalam kelas. Kelemahan sistem pendidikan pada sebelum abad ke-21 adalah kurangnya penglibatan aktif oleh pelajar ketika di dalam kelas. Pelajar bersifat pasif dan hanya mendengar sahaja. Kesannya, komunikasi yang wujud di dalam kelas adalah komunikasi sehala.
Pengajaran dan pembelajaran pada abad ke-21.
Fokus: Berpusatkan Pelajar.
Pengajaran dan pembelajaran pada abad ke-21, sistem pendidikan mempunyai sifat yang bertentangan dengan pengajaran dan pembelajaran sebelum abad ke-21. Fokus pembelajaran dan aktiviti di dalam kelas adalah berpusatkan pelajar. Pada pengajaran dan pembelajaran abad ke-21, guru hanyalah memainkan peranan sebagai fasilitator ata pembimbing sahaja. Pembelajaran dan pengajaran abad ke-21 ini juga menekankan pembelajaran kendiri, arahan kendiri dan inkuiri-penemuan oleh pelajar. Inkuiri-penemuan ini adalah bermaksud aktiviti yang menggalakkan pelajar untuk membuat penerokoaan tentang sesuatu yang baharu. Selain itu, pembelajaran dan pengajaran abad ke-21 ini juga menggalakkan pelajar untuk menjadi lebih bertanggungjawab. Kelebihan pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 ini adalah komunikasi yang wujud di dalam kelas adalah komunikasi dua hala di mana pelajar banyak melakukan perbincangan sesama pelajar atau perbincangan yang berlaku adalah antara pelajar dan guru.
Kesimpulan.
Kesimpulannya, pembelajaran dan pengajaran abad ke-21 merupakan salah satu kaedah pembelajaran yang berpusatkan pelajar. Terdapat banyak manfaat yang kita peroleh daripada kaedah pembelajaran ini antaranya adalah dapat melahirkan insan yang celik teknologi maklumat, memiliki kemahiran komunikasi yang baik dan juga mempunyai kemahiran menyelesaikan masalah yang tinggi. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya terdapat banyak penambahbaikan yang akan dilakukan oleh pihak kerajaan dalam sistem pendidikan dari semasa ke semasa. Hal ini agar negara kita dapat mengikuti tren pendidikan dari negara-negara maju yang lain agar kita tidak ketinggalan. Justeru, para guru perlulah sentiasa bersedia dalam menghadapi cabaran-cabaran tersebut.
Rujukan:
CIKGU PRESS. (2019, Oktober 4). Pembelajaran abad ke-21 (PAK21). Diperoleh daripada https://www.cikgupress.com/2019/10/pembelajaran-abad-ke-21-pak21.html
Dewan Bahasa dan Pustaka. (n.d). Kamus Bahasa Melayu. Edisi Keempat. Diperoleh daripada https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=pengajaran


